Pernahkah anda tertanya-tanya berapa banyak kord gitar sebenarnya?..Memang agak sukar juga menjawab soalan ni walaupun untuk seorang guru muzik, jadi mari kita lakukan sedikit kajian mengenai perkara ini.
Kord dinamakan berdasarkan 12 nota skala kromatik maka sepatutnya ada 12 kord kan?…Ini kurang tepat kerana setiap kord juga boleh menjadi major, minor, dominan 7, minor 7th, diminished, augmented, dan ada juga ‘add 9’, ‘suspended’ dan sebagainya. Dan ia menjadi lebih mengelirukan bila setiap kord juga boleh dimainkan di pelbagai lokasi yang berbeza pada fretboard gitar dan dalam pelbagai bentuk penjarian. Jadi mungkin cara terbaik untuk memahami kord ialah dengan melihat ke dalam formula untuk mewujudkan kord itu sendiri.
Mewujudkan kord sebenarnya mudah, tekan mana-mana tiga nota pada tali yang berbeza pada gitar, mainkan serentak dan dapatlah sebuah kord, bunyi yang terhasil mungkin menarik atau sebaliknya tetapi ia masih kord. Pendek kata, kord boleh dianggap sebagai gabungan mana-mana tiga nota (nada) yang dimainkan bersama. Walau bagaimanapun, terdapat formula yang boleh kita gunakan untuk menghasilkan bunyi kord yang sedap didengar.
Formula membina kord
Kord asas dicipta dengan menggunakan formula yang dikenali sebagai; I – III – V. Ia adalah gabungan tiga nota dari skala Major yang jaraknya tiga langkah daripada satu sama lain.
Berikut adalah satu contoh bagaimana formula ini digunakan untuk membentuk ‘Kord C’:
C__D__E__F__G__A__B =Skala C Major
1__2__3__4__5__6__7
Dalam contoh di atas, nota (C), (E) dan (G) adalah tiga langkah dari satu sama lain, dan gabungan nota-nota ini akan membentuk ‘Kord C’. Tanpa mengira urutan dan lokasi ketiga nota ini di fretboard gitar, mana-mana kombinasi ketiga-tiga nota ini adalah dianggap sebagai ‘kord C’ dan inilah sebabnya mengapa kord boleh dimainkan di pelbagai lokasi dalam pelbagai bentuk penjarian pada fretboard gitar.
Mungkin timbul satu lagi persoalan, perlu kah kita belajar semua jenis kord ini? Ia sebenarnya bergantung kepada matlamat dan harapan anda. Jika anda belajar gitar sekadar untuk hiburan peribadi dan untuk mengisi masa lapang, mengetahui hanya kord-kord asas mungkin sudah mencukupi kerana dengan kord-kord asas saja pun, anda suda boleh memainkan mana-mana lagu yang anda ingin pelajari. Sebaliknya, jika anda belajar bermain untuk tujuan muzik yang lebih serius contohnya untuk membolehkan anda menunjuk ajar orang lain, untuk menulis lagu sendiri atau untuk mempunyai kerjaya sebagai seorang ahli muzik profesional, maka anda perlulah belajar lebih dari sekadar kord-kord asas.
Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai formula untuk membina kord?
Berikut adalah carta formula kord untuk beberapa kord yang paling biasa digunakan.



