Memetik gitar menggunakan teknik ‘Fingerpicking’ akan membuka dunia keseronokan yang baru dalam memainkan gitar. Jika anda telah mempelajari gitar dalam beberapa waktu, dan bersedia untuk meningkatkan kemahiran gitar anda ke tahap yang seterusnya, maka inilah masanya untuk belajar memetik gitar dengan teknik ‘Fingerpicking’.
Teknik memetik gitar dengan jari atau ‘Fingerpicking’ ini memang akan terasa agak sukar pada mulanya, tetapi dengan mempelajari kaedah yang betul dan sudah tentu dengan latihan yang banyak, ianya tidak lah begitu sukar untuk dilakukan. Kaedah yang saya akan kongsikan dalam posting ini adalah teknik yang dikenali sebagai teknik ‘Pima’, iaitu teknik yang dipinjam dari teknik permainan ‘Classical Guitar’.
Mari kita mulakan dengan mengenali label jari yang akan memetik gitar. Setiap jari kecuali jari kelingking akan dilabelkan seperti di bawah:
P – Thumb (Memainkan ‘Bass Strings’, iaitu tali 6, 5 dan 4)
i – Jari telunjuk (Memainkan tali-3)
m – jari tengah (Memainkan tali ke-2)
a – jari manis (Memainkan tali 1)
Anda perlu menghafal label ini kerana ia akan memudahkan anda mempelajari corak corak petikan yang akan dipelajari nanti.
Sekarang mari kita berlatih memainkan corak petikan asas yang ditunjukkan di bawah:
Ini adalah gambaran tali gitar dengan garisan paling bawah mewakili tali 6 gitar anda. Mulakan memetik dari kiri ke kanan dengan memetik tali 6 menggunakan ibu jari (P) diikuti dengan (i) pada tali ke-3 kemudian (m) dan (a) pada tali ke-2 dan 1.
Seperkara lagi, cuba memetik hanya dengan mengerakan jari sahaja dan bukan keseluruhan tangan.
Untuk menggunakan corak petikan ini dengan kord adalah mudah. Apa yang anda perlu lakukan adalah memulakan petikan bagi jari (P) di nota bass terendah pada kord dan kekalkan kedudukan jari (i), (m) dan (a) pada tali masing-masing.
Keliru?
Cuba lihat contoh dibawah;
Apabila bermain kord C, (P) perlu memainkan tali-5 kerana ia adalah nota bass terendah bagi kord C.
..dan apabila memainkan kord F(half barre/versi 4 tali), (P) harus bermula pada tali-4.
Sebagai latihan mari cuba mainkan urutan kord bawah dengan menggunakan corak petikan asas ini:
| C – G – Am – Em – F – C – F – G |
Luangkan masa berlatih corak petikan asas ini untuk membiasakan jari bergerak dengan lancar dan konsisten.
Terdapat banyak lagi corak petikan jari untuk memainkan jenis muzik yang berbeza, dan semuanya akan mudah dipelajari sekiranya corak petikan asas ini telah berjaya dikuasai.
Jumpa lagi di posting yang seterusnya dalam topik ‘Fingerpicking Guitar’.