‘Capo’ adalah sebuah alat pengepit yang sangat berguna kepada pemain gitar kerana ia boleh membantu pemain gitar dalam pelbagai situasi. Fungsi asas capo sebenarnya mudah saja, iaitu untuk menaikkan nada gitar supaya pemain gitar boleh bermain dalam kunci nada(key) yang berbeza tanpa perlu menukar bentuk penjarian kord.
Cara menggunakan ‘Capo’
Cara menggunakan capo adalah mudah, kita hanya perlu kepitkan capo pada fret yang dikehendaki dan fret yang sedang di capo itu kini akan mengambil alih kedudukan ‘Nut’ gitar. Jika anda tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan ‘Nut’, ia adalah benda berwarna putih(kebiasaannya) pada permulaan fretboard gitar selepas penala(Tuners). Dan sekarang, apa saja ‘note’ yang kita mainkan tanpa capo sebelumnya akan menghasilkan bunyi nada yang lebih tinggi, sebagai contoh; jika anda kepitkan capo pada fret ke-2 dan memainkan kord C, ia akan kedengaran seperti kord D, Jika dikepitkan di fret ke-4 pula, bunyi kord C akan kedengaran seperti kord E.
Untuk mengetahui di fret mana kita patut mengepitkan capo, terlebih dahulu kita perlu tahu nama-nama nota pada tali 6 dan tali 5 pada setiap fret. Di bawah ini adalah nama-nama nota pada tali 6 dan tali 5 dari ‘Open String’ sehingga fret ke-12;
Kenapa perlu menggunakan ‘Capo’?
Terdapat beberapa situasi dimana menggunakan capo akan membantu dalam memainkan gitar.
- Untuk bermain dalam kunci yang berbeza tanpa mengubah bentuk kord.
Yang ini kembali kepada fungsi asas capo itu sendiri. Bayangkan situasi di mana anda belajar sebuah lagu dalam kunci nada(key) D Major, contohnya lagu “Canon In D” yang urutan kord nya seperti berikut:
| D – A – | Bm – F # m – | G – D – | G – A – |
…Dan katakan anda tidak selesa memainkan kord-kord ini(mungkin anda seorang pemula dan belum biasa dengan bentuk penjarian kord-kord ini), jadi anda boleh kepitkan capo pada fret ke-2 dan gantikan nya dengan urutan kord-kord dibawah:
| C – G – | Am – Em – | F – C – | F – G – |
Urutan kord dalam kunci nada ‘C’ di atas jika dimainkan sambil capo dikepitkan di fret ke-2 akan menghasilkan bunyi yang sama dengan urutan kord asal dalam kunci nada ‘D’ sebelumnya tadi.
Kaedah ini sebenarnya tidak terhad kepada pemula sahaja. Banyak pemain gitar profesional dan penyanyi yang mempersembahkan lagu-lagu mereka dengan gitar lebih gemar menggunakan capo ketika membuat persembahan. Ianya salah satu cara ini untuk melaraskan lagu ke lingkungan suara mereka dan pada masa sama, mereka dapat bermain di ‘Open Position’. Ini boleh membantu mereka menumpukan lebih perhatian pada nyanyian tanpa perlu memikirkan sangat tentang pertukaran kord yang sukar.
- Untuk melonggarkan tali untuk memudahkan jari.
Dalam pengalaman mengajar saya, sering kali pelajar yang baru bermula akan menghadapi masalah menekan tali jika gitar telah ditala ke penalaan standard(Standard Tuning). Dan ia lebih sukar jika gitar yang mereka beli tidak di ‘setup’ atau dibina dengan baik. Akan ada masalah seperti ‘High Action’ (Tali terlalu tinggi di atas fretboard). Jadi saya biasanya akan mencadangkan agar mereka menurunkan tuning untuk mengurangkan ketegangan tali dan letakkan capo untuk melaraskan semula bunyi gitar mereka dengan gitar saya. Dan ada manfaat tambahan juga, bila ‘Nut’ telah berpindah ke depan, jarak fret juga semakin mengecil dan ini biasanya dapat memudahkan mereka untuk menekan kord.
- Membuat lagu fingerstyle gitar dalam pelbagai kunci nada.
Untuk pemain lebih berpengalaman, menggunakan capo juga bermakna mereka boleh menggunakan bunyi bass terbuka(open bass string) pada fret yang lebih ke depan dan ini bermaksud mereka boleh bermain dimana-mana kunci nada(key). Ini sangat berguna dalam membuat lagu fingerstyle gitar tanpa kehilangan bunyi bass terbuka untuk menyokong melodi lagu. Biasanya ‘open bass string’ lebih terhad dalam kunci ‘E’, ‘A’ dan ‘D’..
Kesimpulannya, ‘Capo’ hanya alat yang ringkas tetapi ianya adalah salah satu aksesori kemestian untuk pemain gitar, sama ada pemula atau profesional.